Halaman

Sabtu, 30 April 2011

Projek Kitar Semula Saya - Siri 3

Catatan kali ni tidak bergambar. Dalam siri 3 ini saya ingin bercerita tentang satu lagi bahan terbuang yang boleh dikitar semula atau diguna semula iaitu kotak kasut.

Apabila kita membeli kasut, kasut akan kita pakai. Kotaknya sama ada:

1. Dibuang (Rugi)
2. Dikumpul dengan kotak lain untuk dihantar ke pusat kitar semula (bagus)
3. Dibuat sesuatu untuk perkara yang boleh diguna semula (pun bagus)

Saya ingin sentuh perkara no. 3.

1. Kotak kasut sebagai kotak kasut.

Kotak kasut boleh digunakan semula untuk menyimpan kasut. Sebab kotak tu memang kotak kasut. Anda mungkin mempunyai beberapa kasut dan kotaknya. Jadi apa yang boleh dibuat ialah gunting sedikit bahagian sisi kotak tersebut agar boleh tembus pandang. Simpan kasut anda di dalamnya. Buat label nama kasut dan saiz di atas bahagian yang telah digunting. Susun kotak kasut anda. Ini memudahkan anda mencari kasut dengan mudah berdasarkan warna dan jenis kasut.


2. Kotak kasut sebagai kotak simpanan barang-barang.

Kotak kasut boleh juga digunakan untuk menyimpan barang-barang lain. Kotak tersebut mungkin boleh dibalut terlebih dahulu dan kemudian digunakan untuk menyimpan barang seperti pakaian dalam, diari dan buku nota kecil, buku-buku bank dan barang kemas.


3. Kotak kasut sebagai kotak hadiah.

Kotak kasut juga boleh digunakan sebagai kotak hadiah terutama untuk barang-barang yang dibuat sendiri. Setelah anda masukkan hadiah, balut dengan kertas pembalut hadiah.


4. Kotak kasut sebagai kotak bungkusan.

Ini saya sering lakukan. Apabila saya menjual buku, kotak kasut saya gunakan sebagai kotak untuk memuatkan barang yang hendak dihantar melalui pos. Setelah dimuatkan, balut dengan kertas bungkusan.


5. Kotak kasut sebagai kraf

Kotak kasut boleh dijadikan kraf atau projek sekolah. Ia boleh digunakan sebagai sebahagian gubahan hantaran. Boleh juga dijadikan model bangunan tinggi jika digunakan sebagai projek seni sekolah.

Selasa, 26 April 2011

Bagaimana Mendapat Benda Percuma / Menjimatkan Siri 3.


Artikel siri ini diletakkan di blog baharu. Artikel siri 1 dan 2 juga boleh dibaca dalam blog ini. Sila rujuk pautan di bahagian sisi.

Kali ini kita lihat dari sudut pandangan seterusnya iaitu:

Penumpang Kapal Terbang / Pesawat.

1. Kos Membawa Bagasi.

Kebiasaannya diberi percuma sekurang-kurangnya 15kg berat timbangan bagasi bergantung kepada syarikat penerbangan. Jika berkumpulan, berat bagasi boleh dikongsi sesama ahli atau bebanan sebahagian bagasi diletakkan di bawah nama mereka yang ringan timbangan bagasinya. Selalunya masalah berat berlebihan timbul ketika pulang berbanding ketika pergi. Penumpang juga boleh membawa sendiri sekurang-kurangnya seunit bagasi ke ruang penumpang. Jadi perkara ini dapat menjimatkan serta mengurangkan kos bayaran bagasi berlebihan jika ada. Jika berkesempatan, poslah barang-barang untuk mengurangkan beban bagasi. Jika memilih cenderahati sewaktu bercuti atau berkunjung ke luar negara, pilihlah benda-benda yang ringan dan menjimatkan ruang penyimpanan.

2. Majalah Penerbangan.

Syarikat penerbangan biasanya memberi majalah penerbangan percuma. Selesai membaca, kita boleh membawa pulang sebagai kenang-kenangan. Artikel yang dipaparkan banyak yang menyentuh tentang perlancongan dan destinasi-destinasi yang terdapat dalam laluan penerbanganya.

3. Makanan dan minuman.

Seperti di hotel, makanan dan minuman yang percuma di atas penerbangan telah dikira sekali dengan harga tiket jadi nikmatilah makanan dan minuman tersebut. Ia bergantung kepada jarak penerbangan. Jika singkat masanya, makanan dan minuman ringan sahaja disediakan. Jika masanya lebih panjang, makanan lebih berat disediakan. Terdapat juga syarikat penerbangan yang menjual berasingan dan jika penumpang membuat tempahan awal, terdapat harga diskaun untuk pakej makanan tersebut.

4. Cenderahati Syarikat Penerbangan.

Jika bernasib baik, syarikat penerbangan mungkin memberi anda cenderahati tanpa diminta. Contohnya penerbangan pulang dari Thailand, saya diberi kerongsang Bunga Anggerik percuma. Ada juga syarikat yang memberi set alat tulis percuma untuk kanak-kanak. Anda juga boleh membeli barang-barang eksklusif syarikat pada harga diskaun sewaktu penerbangan. Ada juga penerbangan yang menyediakan set kad untuk permainan kad dan hadiah-hadiah lain.

5. Keselesaan Penumpang dan hiburan dalam penerbangan.

Penumpang bermacam ragam. Bagi yang ingin tidur, dipinjamkan bantal dan diberi selimut serta penutup mata, ada yang boleh dibawa pulang dan ada yang dipinjamkan sahaja. Ada juga yang ingin menikmati hiburan bagi jarak dekat, hiburan biasanya siaran video pendek tanpa suara. Ada juga yang diperdengarkan muzik tempatan.

Begitulah sebahagian benda percuma yang kita boleh perolehi sewaktu penerbangan. Walau bagaimanapun sedikit pesanan terutama sewaktu ingin berjimat timbangan bebanan bagasi. Elakkan berkongsi bebanan dengan orang lain kecuali keluarga yang kita kenal rapat. Bebanan orang lain yang dibawah nama kita mungkin bermasalah seperti membawa benda terlarang atau barang tidak bebas cukai dan ini akan memberi masalah kepada kita sewaktu pemeriksaan bagasi.

Projek Kitar Semula Saya.-Siri 2


Projek Kitar Semula Saya Siri 2 - Tabung Duit

Saya akan sambung projek kedua dalam siri kitar semula. Sebelum ni saya ada menceritakan berkenaan kitar semula daripada kalendar lama. Kali ini berkenaan bekas atau tin kerepek pula yang boleh ditukarkan menjadi benda berguna. Seperti dalam gambar, menjadi tabung untuk menyimpan duit.

Apa yang diperlukan ialah tin kerepek yang telah habis isinya seperti tin-tin kerepek keluaran FAMA, Pringles atau Wise. Tin-tin ini biasanya mempunyai bekas penutup plastik kedap udara.
Selain itu, perlu juga pembalut hadiah atau kertas mahjong atau kertas balut bungkusan. Bagi projek ini saya gunakan lebihan kertas balut hadiah yang sedia ada di rumah. Kertas ini pun tak mahal harganya cuma RM0.50 sekeping jika beli baru.

Mudah saja caranya. Apa yang perlu kita buat ialah kita bersihkan bekas atau tin tersebut. Kemudian kita balut dengan kertas balut hadiah atau kertas-kertas lain yang ada. Gunakan gunting atau pisau untuk menebuk bahagian penutupnya untuk membolehkan syiling atau duit dimasukkan. Hias mengikut citarasa atau fungsinya. Siap tabung dari bahan terbuang.

Seterusnya gunakan tabung ini untuk menyimpan wang lebihan atau tetapkan wang yang perlu dimasukkan setiap hari. Bila dah penuh, pergi ke bank untuk dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing. Dalam projek ini saya membuat 2 jenis tabung. Iaitu tabung simpanan dan tabung derma. Tabung simpanan untuk simpanan peribadi manakala tabung derma untuk disedekahkan kepada orang lain sama ada mereka yang kurang bernasib baik atau badan-badan kebajikan.

Selamat mencuba.

Projek Kitar Semula Saya.-Siri 1



Projek kitar semula saya. (Guna Semula)

Pada hari ini saya akan bawakan kisah tentang kitar semula. Saya mempraktikkan program ini sejak kecil. Selain menjual semula surat khabar lama dan kotak-kotak ke pusat kitar semula, saya juga menjual buku-buku lama saya kepada mereka yang berminat. Pendapatannya lebih lumayan daripada jualan ke pusat kitar semula.

Walau bagaimanapun, pada hari ini, saya akan ketengahkan salah satu projek kitar semula yang kita boleh buat untuk penjimatan kos serta menambah pendapatan.

Projek pertama saya dalam siri ini ialah: Kad motivasi pelbagai guna.

Sebelum kita bermula, tahukah anda tanpa kita sedari hampir semua barangan pengguna di rumah kita boleh dikitar atau diguna semula? Contohnya dalam episod ini ialah Kalendar.

Berapa lamakah jangka hayat sesebuah kalendar? Biasanya setahun, kerana kebiasaannya kalendar memaparkan tarikh dan bulan untuk tempoh setahun. Jadi apa yang akan kita buat jika tahun bertukar ganti? Kalendar itu telah jadi tak berguna lagi. Walau bagaimanapun, kalendar kebanyakannya direka dan dihiaskan dengan gambar-gambar yang cantik, menarik serta kata-kata motivasi. Contohnya kalendar meja di pejabat yang cantik dan diperolehi percuma daripada pembekal-pembekal syarikat. Jangan buang kalendar itu walaupun jika tahun telah berakhir.

Apa yang kita boleh buat ialah dengan menggunting dengan cermat bahagian gambar dan kata-kata motivasi dan asingkannya dari bahagian tarikh dan tahun.

Anda akan perolehi 6 atau 12 keping kad bergambar dengan kata-kata motivasi yang boleh digunakan semula sebagai hiasan pejabat atau penanda buku.

Kad Motivasi Pelbagai Guna


Bahan-bahan:

Kalendar meja tahun lalu
Gunting
Penebuk lubang kertas
Reben

Cara-cara:

Gunting bahagian gambar kalendar. - Siap untuk kad hiasan motivasi.
Tebuk dengan penebuk lubang kertas dan ikat reben - Siap untuk dijadikan penanda buku

Boleh digunakan sendiri, dijadikan hadiah atau dijual semula sebagai kraf.

Bahagian sisanya bolehlah dikumpul untuk dihantar ke pusat kitar semula.

Isnin, 25 April 2011

Bagaimana Mendapat Benda Percuma / Menjimatkan Siri 2

Memandangkan siri pertama amat menggalakkan di blog saya di sebelah, saya akan berkongsi sebahagian lagi tips-tips di blog ini pula. Oh ya bagi pengikut saya di blog ini yang belum lagi membaca siri 1 berkenaan perkara ini boleh baca di link ini. Sila klik

Dalam siri pertama, saya ada terangkan bagaimana mendapat benda percuma atau menjimatkan berdasarkan pandangan pencinta buku.

Sekarang kita lihat dari sudut-sudut lain pula.

Pengunjung dan penyewa bilik hotel.

Sama ada kita pergi bercuti bersama keluarga atau perlu mengikuti kursus atau kerja luar, memerlukan kita menginap di hotel. Kebiasaannya, mengikut piawaian, hotel menyediakan bilik yang selesa berhawa dingin. Perkara-perkara asas yang mesti ada ialah katil dan tilam selesa, TV, peti sejuk, almari dan kerusi serta meja sisi. Namun, pihak hotel juga biasanya menyediakan
perkara-perkara berikut yang boleh digunakan atau diambil percuma kerana ia biasanya telah dikira dalam bayaran penginapan.

1. Minuman Selamat Datang.

Sewaktu sedang mendaftar, pengunjung biasanya diberi minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga sementara menunggu proses pendaftaran.

2. Set bancuhan minuman.

Set bancuhan kopi dan teh untuk tetamunya menikmati minuman di hotel berkenaan. Biasanya ada serbuk kopi, uncang teh, gula, krimer untuk dua orang. Pihak hotel juga menyediakan air mineral sekurang-kurangnya 2 botol dalam sebuah bilik standard. Semua itu diberi percuma dan pengunjung berhak mengambilnya kerana sebenarnya ia telah pun terkandung dalam bayaran sewa bilik hotel tersebut.

3. Set alatan mandian.

Selain bekalan bancuhan minuman, hotel juga biasanya menyediakan set alatan mandi seperti sabun, syampu, berus gigi dan ubat gigi, sikat rambut, losyen, bedak dalam kuantiti yang boleh digunakan untuk 2 orang. Ada juga hotel yang membenarkan pengunjung mengambil slipper bilik.

4. Set alat tulis.

Selain itu Hotel juga menyediakan alat tulis seperti pen, pensil, buku nota kecil, poskad, sampul surat, kertas A4 untuk menulis surat. Semua itu boleh dibawa balik atau digunakan. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan hadiah atau kenang-kenangan menginap di hotel berkenaan.

5. Surat khabar harian.

Biasanya diletakkan di hadapan pintu pada awal pagi. Ini juga boleh diambil.

6. Sarapan pagi.

Kebiasaannya hotel-hotel besar menyediakan sarapan pagi buffet. Jadi makan kenyang-kenyang. Makanan terdiri daripada makanan tempatan dan antarabangsa. Ada sudut roti, sup, nasi dan lauk pauk kalau di sebelah timur. Salad, bubur, telur, pencuci mulut seperti kek dan kuih muih serta buah-buahan. Tidak dilupakan jus, air suam, teh dan juga kopi.

7. Penggunaan kolam renang dan tempat rekreasi.

Biasanya kolam renang, dan tempat permainan seperti tenis, dan sukan lain adalah percuma bergantung pada hotel tersebut. Ada pusat kesihatan yang boleh digunakan percuma dan ada yang berbayar.

8. Penggunaan set karaoke.

Ada juga hotel yang menyediakan perkhidmatan ini secara percuma.

9. Peralatan permainan papan atau board games

Kebiasaannya hotel atau resort ada yang membenarkan pengunjungnya menggunakan permainan-permainan ini seperti catur, monopoli dan sebagainya. Tetapi ia hanya ketika di sana saja dan perlu dipulangkan balik kepada pihak pengurusan.

10. Pengangkutan percuma pergi dan balik ke lapangan terbang atau pusat bandar.

Ini sudah tentu menjimatkan berbanding perlu mengambil bas awam atau teksi.

Namun, berhati-hati, kerana ada juga barang-barang yang tidak diberi percuma. Perkara ini biasanya diberi peringatan oleh pihak hotel dengan meletakkan senarai serta harga jika didapati barang-barang itu tiada atau rosak sewaktu kita keluar.

Kebiasaannya, barang-barang makanan dan minuman seperti coklat, air tin yang terdapat dalam peti sejuk perlu dibeli jika kita hendak gunakannya. Barang-barang macam selimut, tuala, bath tub, cawan, gelas dan lain-lain tu bukan percuma dan kita hanya gunakannya sewaktu menginap saja.

Bagaimana Mendapat Benda Percuma / Menjimatkan Siri 1

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh mendapatkan benda percuma atau yang menjimatkan perbelanjaan.

Saya pasti, ini semua perkara yang menjadi harapan semua terutama ketika kuasa beli dirasakan semakin menurun akibat peningkatan harga barang atau kos sara hidup yang semakin tinggi.

Sebelum saya terangkan yang percuma, kita pergi dahulu dengan perkara yang boleh menjimatkan.

Saya akan jelaskan dari sudut pencinta buku.

1. Acara Pesta Buku

Contohnya jika anda penggemar buku seperti saya, sudah tentu anda tahu acara besar yang berlangsung di PWTC iaitu Pesta Buku. Ramai akan berpusu-pusu pergi ke acara seperti ini. Kenapa? kerana ramai yang ingin mendapatkan buku baharu pada harga diskaun serta banyak pula pilihannya. Diskaun boleh jadi serendah 25% dan mungkin lebih untuk buku-buku stok lama. Jadi bagi ulat buku ia sesuatu yang amat menjimatkan tanpa mengira kos parking, makan minum dan pembelian segera jika berada di sana, ia sememangnya menjimatkan wang. Lagipun bagi yang layak membayar cukai, resit pembelian buku dapat digunakan sebagai bukti perlepasan cukai pembelian buku.

2. Membeli buku secara atas talian atau online

Selain mengunjungi pesta buku, bagi penggemar buku seperti saya juga boleh dapatkan buku-buku pada harga patut secara belian online. Buku boleh terdiri daripada buku baharu atau terpakai. Risiko untuk kita membuat pembelian yang tak berkaitan dapat dielakkan kerana kita membeli secara online. Contohnya jika anda ke blog saya di sebelah, www.abone-enterprise.blogspot.com, anda juga boleh mendapatkan buku-buku terpakai atau novel pada harga berpatutan termasuk kos pos biasa dalam Malaysia.

3. Menjadi ahli kedai buku.

Kedai-kedai buku di Malaysia selalunya menerbitkan kad ahli untuk memastikan anda menjadi pelanggan tetap mereka dan ahli biasanya akan mendapat diskaun setiap kali membeli di kedai tersebut. Diskaun yang diberi ada yang sehingga 20% nilai buku dan ada juga sehingga 50%. Bukankah ini sesuatu yang menjimatkan.

4. Menjadi ahli perpustakaan.

Perpustakaan adalah hadiah yang tidak ternilai pihak kerajaan kepada pencinta buku. Dengan yuran serendah RM2.00 setahun, kita boleh meminjam buku-buku di perpustakaan awam. Perpustakaan awam semakin moden dan semakin banyak juga buku-buku menarik disediakan. Bayangkan setiap minggu sekurang-kurangnya anda boleh meminjam sekitar 5 unit bahan bacaan tanpa bayaran. Berapa banyak yang dapat anda jimatkan setahun? Selain itu, perpustakaan juga menyediakan ruang untuk membaca surat khbar dan majalah secara percuma, buku-buku mahal yang kita tak mampu membelinya, namun kita dapat menikmatinya dengan kos yang rendah atau percuma.

5. Membaca buku secara online.

Terdapat laman web yang memberi peluang untuk kita membaca buku secara langsung sebelum buku tersebut diterbitkan seperti laman penulisan2u. Ada juga laman web yang memberi peluang kita membaca buku percuma dan senarainya semakin bertambah seperti project gutenberg. Selain itu laman web seperti google book pula ada yang menyediakan hampir 90% kandungan buku untuk dibaca percuma sebelum kita membuat keputusan untuk membeli.

6. Memperolehi buku dari laman freecycle.

Yang paling menarik sekali, buku-buku juga boleh diperolehi secara percuma daripada mereka yang memang terdesak untuk mengosongkan rak-rak mereka. Mereka mungkin akan berpindah, kemas rumah dan dapati ada banyak buku2 lama yang dibuang sayang, dijual lambat laku maka mereka buat keputusan untuk menawarkan secara percuma dalam laman seperti freecycle. Bukan buku-buku sahaja, barang2 lain pun ada. Konsep freecycle amat menarik untuk dipraktikan. Bagi yang kaya dermakan, bagi yang kurang bernasiba baik, dapatkan.
Buat masa ni, saya belum kaya jadi saya kena jual. Siapa yang sudi silalah beli. Sesiapa yang nak offer buku free kecil tapak tangan...tsunami jepun saya tadahkan.

Terima kasih.